::.Da' Sweet Friend Follows.::

Tuesday, December 15, 2009

sepurnama sudah

Di sini kita pernah bertemu Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru
Dan hidupku kini ceria
~brothers, untukmu teman


sepurnama telah berlalu. terasa masih lagi di rumah bonda melayan internet secara riang rianya dari bilik tidur zaman anak gadis. terasa masih lagi baru berada dalam dakapan ibu, masih terasa lagi pelukan hangat abah, terasa lagi ciuman mesra itam, masih berbekas rangkulan mesra ucu, masih terasa genggaman erat atok di lapangan terbang haritu. semuanya terasa seperti masih lagi baru.


genap sudah satu bulan saya dan suami menjejakkan kaki ke tanah bertuah, di bumi tempat berkumpulnya umat islam dari seluruh pelusuk dunia (walaupun secara tepatnya adalah tidak sama kerna kami ditempatkan di daerah lain). jika ditanya bagaimana tempat baru, jawapannya pastilah tempat baru tidak seindah tempat lama. tanah tumpah darah, tanah tempat bermain, tempat berhibur suka duka, susah senang. namun, di tempat baru tidak kalah hebatnya. tempat menimba pengalaman dan mencipta kenangan terindah yang baru.

saya sudah selamat dan selesa di sini. saya selesa kerana sudah mula sesuai sedikit dengan tempat di sini. ruam di kulit akibat penangan cuaca sejuk dan kering tempohari sudah mula pulih. batuk mr.soulmate juga sudah mulai reda, cuma selsema yang membeku di hidung kadangkala menyukarkannya untuk bernafas secara normal dan sering juga mengganggu tidur. kami anggap semua itu cumalah kenangan indah di tempat baru.

di tempat baru, jika dapat bertemu dengan lubuk yang sama dengan tempat lama adalah sebuah kenikmatan yang tidak terhingga. masakan tidak, saat saya berjumpa dengan rakan satu pusat pengajian di rumah kunjungan salah seorang rakan sekerja mr.soulmate, saya menjerit keriangan. saya rangkul dia yang bernama Ameera dengan penuh rasa syukur dan sedikit linangan air mata di dalam dada. saya sungguh terharu berjumpa dengannya yang suatu masa dahulu kami boleh diistilahkan sebagai kawan rapat. bertemu Ameera ibarat bertemu saudara darah daging. di tempat orang, jika dapat bertemu rakan sewarganegarapun sudah cukup baik, inikan pula bertemu rakan satu pusat pengajian yang sama-sama kita harung hidup remaja bersamanya. indahkan!


lebih indah saya temui lebih ramai rakan senegara di sini. saya bukan cuba untuk berasabiah dalam bersahabat, namun dalam musim adaptasi ini kita perlukan sokongan dari akar umbi yang sama. alhamdulillah rakan sekerja soulmate kebanyakannya berasal dari rumpun Malaysia. menghadiri satu lagi jemputan di mana berkumpulnya kebanyakan warga Malaysia dalam satu majlis, saya berasa syukur amat. saya tidak keseorangan di bumi ini, saya punya teman. teman berkongsi rasa yang sama, teman berkongsi rasa rindu masakan yang sama, dan teman yang juga punya kenangan dari tempat yang sama. paling indahnya, saya punya teman tempat sokongan dan tempat berpadu semangat yang sama. 1 Malaysia! (read: eeewah, patriotik sungguh tetiba).


sebagai akhirnya, buat keluarga dan sahabat di tanah rantau, terima kasih atas doa kalian, saya dan suami bahagia dan aman di sini. terima kasih atas rindu kalian, saya dan suami tetap merasai aura kerinduan yang kalian hembuskan bersama angin lalu di sini. salam sayang dari kami, salam mesra moga kita dapat ketemu lagi. kami nanti, kalian datang ke sini menjenguk rumah Allah seraya disambut mesra oleh kami di sini seadanya mungkin. InsyaAllah

wa ilalliqa' maasalamah

No comments: