::.Da' Sweet Friend Follows.::

Wednesday, August 26, 2009

Rahmat ramadhan

Ramadahan adalah bulan yang diturunkan di dalamnya
al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia (2: 185)


selamat berpuasa semua. dah lima hari kita berpuasa, dan beramal ibadah dengan penuh limpah barakah. syukur alhamdulillah. setakat lima hari ni, apa yang menarik tentang puasa kawan-kawan semua? mungkin ada yang pertama kali berpuasa bersama suami, pertama kali bersama anak kecil, juga mungkin pertama kali jauh dari tanah air sendiri.

di hari pertama bersahur, saya bersahur bersama keluarga di rumah ayah bonda. seawal pagi jam 4 saya dan suami bergerak ke rumah bonda yang sejauh 5 minit (kalau tak jem) dari rumah kami. sahur di rumah ayahbonda saya meriah. macam makan tengahari. paling seronoknya, mula-mula nak ambik mood makan pagi tu, masing-masing mandom jer. selepas berlalu beberapa minit barulah terbuka selera dan makan hingga susah nak berhenti. sindrom ini kami gelarkan sindrom generator rosak. aha, itu lawak keluarga yang hanya kami sahaja memahaminya.

siangnya berbuka pertama di rumah bonda juga. ditemani keriuhan anak-anak kecil itam yang sedang diasuh berpuasa. anak-anak itam yang masih kecil itu kami anggap seperti adik sendiri. mereka tinggal di raub pahang. untuk rekod, itam sekeluarga sebelumnya tinggal bersama-sama kami di rumah ayah bonda saya. boleh kata saya membesar dalam sebuah extended family la termasuk atuk dan nenek (arwah). bercerita perihal puasa kanak-kanak itu, menjelang sejam lagi nak berbuka, itam bawak anak-anak "killing the time". silapnya dia gi kill the time kat bazar ramadhan. bak kata ibu, bau aroma makanan lagilah melemahkan kanak-kanak tuh. kesian diorang. sampai rumah semua terlepek lembik. lepas je berbuka, diaorang semua ceria kembali. comel sangat. kenangan terindah berbuka dan berpuasa dengan keletah mereka disamping ditemani orang tua penyejuk mata dan jantung hati. adik saya ada cerita lanjut lagi tentang kanak-kanak ini.




puasa ke dua di rumah mertua pula. ipar duai dan anak-anaknya semua datang memeriahi rumah ibu mertua saya. makan beramai2 seronok juga, walau tanpa mendengar dan melihat keletah kanak-kanak kecil berpuasa. anak-anak kecil di sana tidak diasuh serius untuk berpuasa. di situ kelainannya dengan anak-anak kecil pihak sebelah saya.

saya ingat lagi, sedari kecil kami diasuh untuk berpuasa. kecil di sini dimaksudkan dalam lingkungan dah masuk tadika. dalam 4 tahun lebih dan ke atas laaa. siapa yang tidak berpuasa tidak boleh campur dengan orang yang berpuasa. tidak boleh menghadap makanan bersama-sama. sedih tau. rasa terpinggir. jadi itu menjadi motivasi untuk berpuasa sepanjang hari. kami jarang diupah dengan monetary reward untuk berpuasa. cukup hukuman psikologi itu menjadi motivasi. seronoklah zaman berpuasa waktu kecik nih.


saya sedang belek-belek buku yang harus dimiliki oleh semua wanita muslimah, dalam mengisi masa senggang siang. saya temukan beberapa info menarik untuk dikongsi bersama. bukunya bertajuk, Ensiklopedia Fiqah Wanita Muslimah yang ditulis oleh Sheikh Abu Malik Kamal bin As-Sayid, terbitan Jasimin Enterprise dialih bahasa oleh Mohd Sofwan Amrullah.



best sangat buku nih. harus miliki. buat suami hadiahkanlah untuk isteri. kalau suami tak hadiahkan, isteri beli sendiri. kalau yang belum berumahtangga, beli jer sendiri. lengkap untuk panduan seharian. memang wajib beli lah. saya ulang, wajib beli dan miliki. ini arahan penting untuk wanita. buku ini bukan untuk rujukan wanita sahaja, info yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi oleh kedua-dua jantina.

yang ingin saya kongsikan tentang beberapa perkara yang dibolehkan sewaktu berpuasa. antara yang terdapat dalam buku ini telahpun saya coretkan dalam entri sebelum ini. saya masukkan yang mana belum jer lagi yer. mungkin yang pertama kali berpuasa secara berduet dengan suami, boleh manfaatkan info ini.

1. Bersetubuh pada malam hari sebelum fajar.
Ramai suami isteri yang lama dan baru dah tahu kot fakta ini. dalilnya dari surah al-baqarah, ayat 187

dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu

secara sejarahnya, telah diriwayatkan daripada al-Barra' bin Azib r.a., katanya ketika turun kewajipan puasa di bulan Ramadhan mereka (lelaki) tidak mendekati kaum wanita sepanjang bulan Ramadhan dan mereka menahan nafsu mereka. Lalu Allah menurunkan firmannya sambungan dari ayat tadi

Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepada kamu.

2. Memasuki pagi dalam keadaan junub pada hari puasa
Aisyah dan Ummu Salamah r.a meriwayatkan bahawa
Rasulullah memasuki fajar dalam keadaan junub dari isterinya, kemudian baginda mandi dan berpuasa (Riwayat Bukhari dan Muslim)

tetapi kawan-kawan, kes ini dikecualikan untuk mandi junub sahaja sedang mandi wajib kerana haid dan nifas harus disegerakan sebelum masuk fajar kerana syarat sah Puasa itu hendaklah suci dari haid dan nifas.


3. Mencium isteri dan menyentuhnya (bermesra) tanpa bersetubuh
Diriwayatkan daripada Aisya r.a., katanya:

Nabi saw mencium dan mencumbui, padahal baginda dalam keadaaan berpuasa dan baginda adalah orang yang paling mampu menguasai syahwatnya (riwayat Bukhari dan Muslim)

Nota penting:
::Jika suami mencium dan mencumbui isterinya, lalu keluar mazi dari kemaluannya, maka tidak ada kemestian apa pun baginya

::Jika suami mencumbui atau mencium isterinya padahal kedua-duanya dalam keadaan berpuasa tiba-tiba keluar dari salah seorang dari mereka air mani, batal puasanya serta wajib diqada' puasanya.

4. Mandi dan menuangkan air ke atas kepla untuk menyejukkan tubuh
Diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku:

Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.

ya Allah, saya baru perasan hadis ini. andai saya tahu lebih awal saya sarankan anak-anak kecil itam mandi untuk mendapat kesegaran. sebelum ini sejak kecil saya mendengar larangan sebagai makruh mandi dengan kerap di bulan puasa lebih-lebih lagi sewktu hampir berbuka. ianya dikhuatiri dapat membatalkan puasa atau mengurangkan pahala puasa kerana kesegaran. tetapi nabi junjungan sendiri melakukannya semata-mata kerana panas dan dahaga. dan mungkin juga untuk mendapat kesegaran berpuasa. darimana datangnya larangan yang saya dapat dari orang-orang tua dulu tu ya? siapalah kita ini untuk tidak mengikuti sunnah yang dianjurkan junjungan besar Muhammad itu? untuk keterangan lanjut, dr.asri ada nyatakan di sini juga.

5. Bercelak, memakai minyak wangi, ubat titis mata, suntikan, siwak dan seumpamanya cth, memberus gigi

Tidak ada dalil dari nabi yang melarang hal tersebut. Jadi perkara tersebut sekiranya dilakukan tidak membatalkkan puasa.
sebelum ini saya selalu mendengar mitos bahawa perkara-perkara tersebut adalah dilarang.


6. Berbekam, menderma dan memeriksa darah apabila tidak dibimbangi tubuh menjadi lemah
Diriwayatkan daripada Ibnu Abas r.a., katanya


Nabi saw pernah berbekam padahal baginda sedang berpuasa (Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Tirmizi)

Makruh hukumnya, jika ianya menjejaskan kesihatan tubuh ketika berpuasa.

7. Makan dan minum kerana lupa
Abu hurairah meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda

Sesiapa yang lupa padahal dirinya sedang berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka silakan meneruskan puasanya kerana ianya hanya diberi makan oleh Allah dan diberi-Nya minum (Riwayat Bukhari dan Muslim)
saya pernah terlupa diri sedang berpuasa dan makan ketika menjaga arwah nenek di hospital selepas didesak oleh nenek. nenek yang pada ketika itu juga dalam keadaan lupa dan kekadang ingat.

8. Muntah dengan tidak sengaja

Sesiapa muntah, tidak ada kemestian qda' bagunya dan sesiapa yang mencari sebab muntah dengan sengaja, maka hendaklah ia mengqada' (Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

9. Menikmati hidangan berbuka sebelum mendirikan solat Maghrib
Adalah sangat dianjurkan sunnah supaya menyegerakan berbuka. Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dipetik dari laman dr.asri
,
Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. sumber: dr.asri

sekalipun jika makanan belum dihidangkan, bolehlah solat terlebih dahulu selepas mendapat tenaga dengan memakan makanan ringan sebagai alas dan lapik perut. bersolatlah dalam keadaan tenang dan aman, kemudian sambunglah kembali arena pemakanan anda sekalian.


selamat menjalani ibadah puasa, elamat mendapat keberkatan Ramadhan
sekian dahulu perkongsian untuk kali ini, wallahualam.

No comments: