::.Da' Sweet Friend Follows.::

Saturday, November 21, 2009

ceritera saudi

In between goals is a thing called life, that has to be lived and enjoyed.
- Sid Caesar

masuk hari ini genaplah seminggu kami meninggalkan tanahair. saya berada di sini membawa sepenuh cinta menemankan sang suami yang bertugas di sini. dan sebakul cinta juga ditinggalkan di tanahair untuk ibu, abah, atuk, pakcik makcik dan adik-adik seluruhnya sahabat handai dan teman seperjuangan.

berada di tempat orang tiada serupanya dengan tempat sendiri. tempat orang punyai istimewanya tersendiri (harus sebut istimewa untuk menjadikannya lebih positif dan dihayati sepenuh hati). terlalu banyak untuk dikongsi tentang rantau ini. jika tidak keseluruhannya saya coretkan buat kali ini, kita akan kongsikannya lagi di lain entri bila waktunya sampai nanti. saya mungkin lama di sini, jadi usah risaulah.


pertama-tamanya, saya dan suami selamat di sini. negara ini aman. tidak saya dengar dalam berita sebarang kisah pencerobohan atau letupan di hotelnya (macam kisah adam (nurkasih) di mumbai). alahai tiada kesempatan tengok nurkasih live (saya sempat menonton ulangan sahaja di drama nur kasih tv). ramai yang sedang berpusu-pusu ke negara ini tetapi bukan di daerah yang saya duduki ini. saya cuma nak cakap, kami selamat. jangan risau lah!


penempatan sementara

sekarang kami menginap di 'servis apartment'. jangan bayangkan apartment yang saya duduki ini sama macam apartment di Malaysia heh. tak sama. dari segi keluasan dan ketinggian. ketinggiannya hanya setakat dua tingkat. keluasan satu rumah sekadar dua ruang tamu besar (sebagai adat di sini memisahkan ruang untuk tetamu lelaki dan perempuan), dua bilik air, dua bilik tidur dan satu dapur. setiap satu ruang disediakan penyaman udara termasuk di dapur. dinamakan servis apartment kerana ianya adalah sewaan termasuk memberi khidmat seperti hotel. bezanya dengan hotel, apartment ini lengkap dengan segala kemudahan kekeluargaan seperti sofa, televisyen, katil dan alat-alat keperluan dapur. ini bukanlah tempat tinggal tetap kami sepanjang di sini. kami menetap di sini sementara sahaja sehingga menunggu waktu untuk masuk ke kediaman tetap. mungkin makan masa lagi dua hingga 3 minggu atau mungkin sebulan lebih. segalanya bergantung kepada urusan pejabat di Malaysia dan urusan masuk dengan tuan punya rumah.


cuaca
sekarang adalah musim sejuk. ya, sejuk betul. cuacanya sejuk ditambah pula dengan keadaan anginnya yang kering dan berdebu. kalau di Malaysia kita bercuaca lembap, di sini kering. debu adalah sinonim dengan kawasan sahara ini. sewaktu pesawat mendarat, apa yang dapat dilihat cumalah pemandangan berwarna coklat yang sangat luas. dengan sebab itu, laundry amat mudah dikendalikan di sini. baju-baju yang ingin dikeringkan cuma perlu disidai di dalam rumah. jangan ada pula yang inginkan panas matahari dari luar, nanti habis pula jemuran dipenuhi dengan debu. jangankan baju amat mudah kering walaupun di dalam rumah, kulit badan juga cepat menjadi kering kontang. sudahnya, mr.soulmate juga terpaksa menjadi remeh seperti wanita untuk berlosyen dan berkrim setiap masa tidak kira ketika keluar bekerja ataupun tetap diam di dalam rumah. losyen itu sudah jadi wajib. di sini walaupun ketika cuaca panas menjangkau suhu 55 darjah celsius, peluh tidak ada. kerana tiada kelembapan. jadi mandi seolah-olah bukan kewajipan. cukuplah mandi sehari sekali bagi yang rajin mandi.

masa

masa di sini mencatatkan 6 jam lewat dari waktu Malaysia. jadinya, sedang kami di sini baru memulakan hari pagi, Malaysia sudahpun menginjak tengahari. ataupun ketikamana Malaysia sudah melabuhkan tirai malam, kami di sini baru sahaja selesai waktu senja. sungguhpun begitu, waktu solat adalah dikira lebih cepat berbanding Malaysia. sewaktu entry ini ditulis, waktu Subuh masuk seawal jam 4.50 pagi, Zohor jam 11.30 pagi, Asar jam 2.45 petang, Maghrib pukul 5.00 petang dan Isya' jam 6.30 petang. waktu pejabat bermula jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang. saya kini sedang menyesuaikan dengan waktu bangun pagi dan waktu tidur. Jam 8.30 malam, mata saya sudah ajak tidur dan jam 5 .00 pagi dia sudah pandai bangun. ini sepertinya sebuah keajaiban jika dibandingkan dengan rutin harian hidup saya di Malaysia suatu ketika dahulu. saya juga sedang membiasakan dengan waktu di mana matahari mula mencanak naik jam 6 pagi dan senja mula menjenguk jam 5.00 petang.


air

sesampainya saya di sini, saya agak hairan apabila saya dapati air paip di sini sedikit payau (kalau ada yang tidak tahu rasa payau bagaimana, ia seperti rasa air zam-zam). kepelikan bertambah dengan memikirkan fakta, mungkinkah di seluruh Saudi bekalan sumber airnya adalah dari air mukjizat 'air zam-zam' itu? rupa-rupanya, menurut Pak Lokman, air paip di sini adalah air laut yang disuling. air paip di sini tidak sesuai untuk diminum. meminumnya, boleh menyebabkan sakit buah pinggang. jadi, orang di sini minum air minuman yang dijual dipasaraya sebagai sumber air untuk minum dan masak. atau bagi yang tinggal di kediaman-kediaman, ada khidmat penghantaran air minuman dari rumah ke rumah. kegunaan air paip hanya untuk mandi dan membasuh.


makanan

tidak sukar mencari makan di sini. segalanya halal. semuanya ada. kalau ada yang risaukan saya akan rindu masakan Malaysia, ouhhh tidak sama sekali. di sini ada terdapat restoran Filipina atau Thailand yang menyajikan masakan Asia yang sesuai dengan selera kita orang Malaysia. Juga ada Indian and Chinese Cuisine untuk sesiapa yang sesekali ingin berubah selera makan. setakat entri ini ditulis, saya belum lagi mengunjungi restoran masakan tempatan sini. masih belum berkesempatan. oh ya, makanan segera seperti KFC, Mc Donald, Pizza Hut dan Domino's Pizza juga ada di sini. pasar basah Filipina menyediakan banyak keperluan asas Asia. bahan-bahan masakan seperti serai, lengkuas, kunyit hidup, daun pandan, kelapa parut dan sebagainya banyak terdapat di sini. untuk makan, segalanya ada di sini (musnahlah harapan saya untuk kurus kerana kononnya rindu masakan Malaysia).


teruja apabila melihat barangan Malaysia dipasaran (bangga!) ps; maggi itu terkecuali laaa

dari pasar basah Filipina

sekian, sampai nanti ketemu lagi


No comments: