I am thankful for a lawn that needs mowing, windows that need cleaning and gutters that need fixing because it means I have a home
~Nancie J. Carmody
~Nancie J. Carmody
sudah 7 hari berlalunya satu bulan di tahun 2010. sudah 7 hari juga berlangsungnya bulan kedua untuk tahun ini. makanya sudah 7 hari jugalah saya menghuni kediaman baru secara tetap di bumi bertuah tempat saya berada di sini selapas kurang lebih dua bulan kami menginap di hotel sewaan buat tempat berlindung dari kesejukan cuaca dan keterikan mentari.
dalam masa 7 hari di kediaman ini, segalanya masih belum cukup sempurna. tetapi kebanyakannya telah hampir mencukupi. untuk rekod, semua keperluan asas rumah disediakan sepenuhnya oleh tuan rumah termasuklah alat perabot, langsir dan beberapa alatan elektrik asas yang lain. cukuplah setakat ini kami sudah disediakan set katil tempat untuk merehatkan letih di badan setelah penat mengemop seharian. tidaklah perlu tidur di lantai yang berdebu dan sejuk tahap ais. juga sudah punya set meja makan walaupun tidak sepanjang tempat duduk untuk 20 orang, namun masih mampu menempatkan sebilangan tetamu yang akan hadir suatu ketika nanti. syukur, kami tidak perlu bersantap sambil juga bersila di lantai sesejuk ais ini. syukur juga, set-set sofa telah pun memenuhi ruangan-ruangan santai tempat menghilangkan penat dan merehatkan minda sambil menonton siaran televisyen yang ke udara. sekalipun segala plastik-plastik di sofa masih belum dibuka sepenuhnya, namun duduk sambil menonton rancangan kerinduan tanah air sangat melegakan hati. sekalipun rancangan yang ditonton adalah paling jarang ditonton sewaktu di tanahair dahulu, namun dapat menikmati siaran itu pun dapat menghilangkan rindu dendam yang terbuku di hati.
terima kasih kepada cakera besar ini yang memberi laluan kepada saya dan suami menikmati siaran dari tanah air sendiri. saya syukur, walau hanya satu siaran yang dapat kami tontoni, walau tidak sebanyak yang ada di tempat sendiri, namun yang ada itu sudah lebih baik dan mencukupi. ini adalah kerana saya punya 800 channel lain lagi yang boleh diberi pilihan untuk tontonan.
kediaman yang telah 7 hari didiami ini belum lengkap sepenuhnya kerana kami masih menunggu pihak tuan rumah memasang kabinet dapur lantas saya boleh memasak dengan secara sempurna. tidak perlulah lagi saya memasak seperti waktu di asrama dahulu menggunakan periuk nasi elektrik yang kecil comel. ada juga suami belikan untuk saya dapur elektrik yang kecil, namun dapur comel yang indah dari segi rupa parasnya itu penggunaannya hanya pada tahap yang sangat minimum. biarlah saya betah lagi menggunakan periuk nasi elektrik comel itu dari dapur elektrik yang hanya terbatas untuk fungsi pemanasan sahaja, tidak sampai tahap memasak.
selama 7 hari ini juga rutin saya banyak berkisar pada tahap cleaning and dusting. hari-hari saya mop lantai yang sangat selalunya berdebu. mengikut tunjuk ajar yang diperturunkan ibu, mop lantai harus dengan air bersih dahulu untuk beberapa kali bilasan sebelum diakhiri nanti dengan bilasan akhir pencuci lantai tanpa bilas. di ruangan atas telah saya selesaikan dengan bilasan akhir pencuci lantai tanpa bilas. cuma di tingkat bawah ini cukuplah bilasan penghilang debu sahaja dahulu saya buat. tunggu sehingga tukang rumah siapkan kabinet dapur dan pemasangan langsir dahulu, baru saya sudahkan dengan bilasan akhir pencuci lantai. jika tidak, usaha saya cuma mendatangkan penat, kerana mereka-mereka ini bukannya tahu nak buka kasut sebelum masuk rumah, ditambah pula debu-debu yang akan mereka hasilkan hasil daripada kerja-kerja pemasangan itu nanti.
atas dasar rasa kasih, suami hadiahkan saya 'super mop' yang penggunaannya lebih mudah dari mop biasa. syukur juga, saya tidak perlu guna cara tradisi seperti kisah cinderella yang rasanya terdera pinggang dan tulang belakang mengemop menggunakan kain secara manual terduduk-duduk. alhamdulillah, syukur. membasuh juga adalah dalam sedikit kesukaran buat masa sekarang. yelah, sudah terdidik sejak kecil dibantu oleh mesin dalam aktiviti mendobi. jadi kini sedikit terganggu bukan kerana mesinnya tiada, mesinnya sudah ada tapi tidak boleh diguna. harus menunggu tuan rumah juga untuk setelkan semuanya. bukannya en.suami tidak boleh memasangnya, tetapi kepala paip dan saluran paip mesin adalah tidak sama. takkan kami yang mahu selesaikannya sedang ianya adalah tugas tuan rumah, serahkan sahaja padanya.
namun masalah dengan tuan rumah dan pekerja-pekerjanya bukan sesuatu yang mudah di terima. sedang kita dalam keadaan terdesak di sini dengan kebanyakannya yang kurang sempurna, mereka boleh membuat sambil lewa. kalau dikatakan janji melayu itu yang paling terburuk, janji dengan kaum yang di sini jauh lebih buruk. janji melayu paling kurang lewatnya 2-3 jam, janji masyarakat di sini mahunya makan 2-3 hari baru sempat ditunaikan. sigh....
berkenaan dengan cuaca, semakin hari semakin sejuk. dan kesejukan di sini (kediaman ini) lebih amatnya terasa berbanding dengan di hotel dahulu. di kediaman ini barangkali tanpa lengkap berpermaidani dan dengan struktur binaan batuan penuhnya tidak menjadi agen penebat haba yang baik. lantas setiap hari selama 7 hari ini saya dan suami kesejukan yang amat di pagi hari dengan kadar cuaca serendah bawah 10 darjah selsius.
akhirnya, saya berdoa agar sedikit kesusahan dalam kesenangan ini akan segera berakhir. saya dan suami kini sedang menanti sampainya barangan dari tanah air yang akan memulakan perjalanannya pada esok hari (8hb) dan tiba kepangkuan kami dengan selamatnya. InsyaAllah. Amiin.
No comments:
Post a Comment