Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami,penyejuk hati kami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa
pada usia awal perkahwinan seawal genap sebulan, saya tinggal berjauhan dengan insan yang baru muncul dalam hidup. sebulan selepas hari nikah, soulmate berkursus selama 6 bulan. sebagai pengantin baru, rasa macam ralat sikit bila kehidupan alam rumah tangga tak sama macam orang lain. namun begitu, Allah tetap sayangkan saya walaupun secara literalnya perpisahan itu selama 6 bulan, tapi ianya tidaklah total berpisah. kami tetap bertemu setiap hujung minggu. tetap sempat melepaskan rindu yang membuak di dada setiap kali soulmate ada peluang untuk pulang. yelah, pengantin baru, semua pengantin ada rasa yang sama macam saya. kalau tak percaya, cuba ingat-ingat balik.perasaan menanti hujung minggu dan sedihnya bila weekend sudah berakhir,masih segar diingatan saya.
jadi, walaupun status saya sudah bertukar dari anak gadis kepada isteri mithali, saya tetap tinggal bersama ibu bapa. saya ada transition period at least 6 bulan sebelum benar2 berkhidmat sebagai isteri. dalam transition period itu, saya menyulam cinta dengan insan yang saya kasihi, dating seminggu sekali dan berkongsi rasa rindu dalam aliran yang diizinkan agama. setiap rindu yang mengalir, setiap cinta yang berputik semuanya diiring pahala, InsyaAllah. pada 6 bulan pertama itu, jiwa saya masih seperti anak dara, masih riang gembira, masih sama di peringkat pengajian, malah saya rasa hidup lengkap serba serbinya walaupun saya tidak tinggal sebumbung dengan lelaki yang baru hadir mengetuk kotak pitu hati. rasa seperti bercinta zaman muda mudi remaja. dalam masa awal perhubungan itu, kadangkala sukar juga membuat pilihan antara lelaki baru dan lelaki lama yang sudah beraja di hati. lelaki lama saya refer kepada abah saya. pada awalnya rasa janggal juga menukar nama penjaga saat mengisi borang. lazimnya menulis nama lelaki yang selaras selepas nama saya. kemudiannya baru terfikir saya perlu tukar nama penjaga saya, kepada lelaki baru yang hadir menakluk jiwa. kadangkala bertegas juga, lebih prefer untuk taat kepada lelaki lama berbanding lelaki baru. sukar juga mahu tunekan minda, taat saya kini sudah perlu berubah hala.
selepas 6 bulan fasa bulan madu kami tamat, saya antara jiwa paling gembira. yeay! dapat bersama membina layar bahtera seperti pasangan suami isteri biasa. kami mula survey tempat kediaman buat tempat berlindung dari panas dan hujan. tumpuannya di sekitar yang hampir dengan tempat kerja mr.soulmate. malangnya, tidak banyak kekosongan yang sesuai dengan keadaan kami. kami mencari ruang kediaman yang selesa dan mampu sewa. namun tidak banyak yang ada. Alhamdulillah, ibu saya punya satu kediaman yang dibiarkan tiada penghuni. ibu tidak mahu sewakan kepada orang asing kerana kediaman itu baru selesai renovasi. ibu tawarkan kami kediaman itu. ibu tawarkan secara percuma, tetapi soulmate menolaknya dengan membayar juga sewa kepada ibu pada kadar yang kami mampu. mengambil kira kesenangan saya yang dekat untuk ke kampus, jadi kami terima. penat sikit bagi soulmate memandangkan jauh untuk ke tempat kerja sekitar 50km.
hidup sebagai suami isteri kami bermula dari zero. saya masih di bangku pengajian. hanya mr soulmate seorang yang mencari rezeki untuk keperluan keluarga. suka saya lihat bila pasangan pengantin yang baru berkahwin mampu untuk memiliki kehendak mereka. mampu bercuti ke sini sana sekerap mungkin. mampu menukar telefon bimbit jenama terhebat dan terbaru, juga mampu menambah aset kehidupan lain semudahnya. setakat awal peringkat kehidupan kami tinggal bersama, hanya keperluan sahaja yang mampu kami miliki. segala keperluan yang wajib sahaja kami ada. untuk memenuhi kehendak, kami pejamkan mata dahulu. jujurnya, kehidupan di Kuala Lumpur bagi kami yang hanya sebelah pihak memiliki punca pendapatan, adalah sedikit menyesak atau tersempit. soulmate bukanlah anak tunggal keluarga yang mempunyai harta-harta di dalam dan luar negara. soulmate datang dari keluarga biasa-biasa yang sedrhana. saya juga bukanlah anak taukeh ladang emas. namun kami tetap bahagia meniti hari-hari mula sebagai pasangan suami isteri. Alhamdulillah rumah ibu yang kami sewa sangat besar dan selesa buat kami berdua. buat permulaanya kami hanya mampu sediakan keperluan asas sahaja. awalnya, kami cuma hamparkan sebuah permaidani besar dan dihiasi bantal-bantal hiasan untuk lapik duduk. kami masih belum mampu memiliki sofa, masih belum mampu untuk mempunyai meja makan. yang kami perlu ada cuma peralatan asas dahulu seperti televisyen tanpa astro, peti ais, mesin basuh serta alatan elektrik dapur yang lainnya seperti blender dan periuk nasi.cukup setakat itu dulu. dengan kehidupan yang serba sederhana itu, saya merasa perlu juga untuk membantu suami. saya berpeluang bekerja sambilan sebagai pembantu penyelidik. Alhamdulillah kehidupan kami walaupun tidak mewah, tapi serba cukup.pendapatan bulanan yang kami ibarat, kais bulan ini untuk makan sebulan, kais lagi untuk bulan depan makan sebulan. begitulah seadanya. tiada peluang untuk memenuhi kehendak. segalanya untuk keperluan.
Allah tahu yang terbaik untuk hambanya. selepas 2 tahun perkahwinan, setelah jerit perih dilalui, saya tamat pengajian MA dan soulmate ditawarkan khidmat luar negara pada penghujung 2009. tibalah masanya untuk kami tinggalkan tanahair, keluarga dan sahabat handai. pada permulaanya, saya agak tidak selesa di tempat orang. saya tidak biasa keluar dari zon selesa. Allah sayangkan saya, 3 tahun berlalu dengan segalanya selesa buat kami berdua. saya sudah hampir 3 tahun mengikut soulmate berkelana di tempat orang. Alhamdulillah, segalanya baik, aman, selesa dan bahagia. secara kewangannya, kami stabil. kehendak sedikit sebanyak sudah mampu diperolehi, syukur rezeki Allah.
Alhamdulillah, hari ini genaplah usia perhubungan ini setengah dekad. 5 tahun telah saya habiskan bersama lelaki yang baru ini. saya sudah betah menulis nama beliau untuk diisi diruang penjaga. 5 tahun saya sudah bersama lelaki ini membina lakaran baru dalam kehidupan ini. warna warni kehidupan saya dilakar hanya bersama dia. turun naik emosi ini hanya dia yang menjadi saksinya. 5 tahun ini kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. masih jauh perjalanan kami, 5 tahun hanya sebuah titik mula untuk perlayaran seterusnya. 5 tahun ini saya sudah terlalu obsess hanya untuk dia. tanpa lengannya tidur saya tidak lena, tanpa dia, selera makan saya tiada, tanpa tunjuk ajar darinya saya tidak nampak di mana cahaya. tanpa bimbingan dia saya tidak tahu bagaimana mahu berjalan lurus atas lanadasan agama. Alhamdulillah, Allah kurniakan masa 5 tahun ini untuk saya berkongsi rasa bahagia.
Allah, izinkan saya untuk terus bersamanya hingga syurga. Allah izinkanlah nafas kami bersatu sehingga hujung nyawa. Kalau kau takdirkan kami hanya berdua hingga ke akhirnya kami redha. Namun, berkat Kudratmu dan Ismahmu Ya Allah, kurniakan kami cahaya mata agar hidup kami lebih serinya. Amiiin.
2 comments:
tahniah atas ulang tahun perkahwinan ila n din...
fad: thanks :)
Post a Comment